PALEKBANG, LALUAN SEJARAH YANG PUDAR

 
 
Tiada apa lagi yang tinggal, cuma kayu-kayu yang biasanya digunakan untuk tapak landasan; disusun rapi, mungkin juga digunakan sebagai peron untuk memunggah barang ke dalam keretapi suatu masa dahulu, mungkin sekitar 1940an, sewaktu kegiatan perniagaan sedang galak di stesen ini.

Stesen ini didirikan oleh Inggeris pada pertengahan 1920an. Landasannya menjadi penghubung utama di antara ibu negeri Kelantan: Kota Bharu, dengan daerah-daerah lain dan ke negeri-negeri Tanah Melayu yang lain. Pada ketika itu Palekbang muncul sebagai salah sebuah pekan yang pesat dengan perdagangan, lebih dahulu dari tempat-tempat lain di Kelantan. Di sinilah nadi penggerak ekonomi negeri, yang strategik dengan stesen keretapi dan feri yang menyambung penduduk setempat dengan Bandar Kota Bharu. Bukan rakit, tetapi feri dua tingkat, dikenali sebagai Feri Belangkas, serta bot-bot kotak. 

Sesuai dengan sifatnya sebagai hab dan pekan transit, di sini juga didirikan Cold Storage (tempat simpanan sejuk) yang menyimpan stok air botol F&N dan Coca-Cola; depo minyak kepunyaan Shell dan Esso, serta kilang air batu - masing-masing membekalkan minyak dan ais ke seluruh negeri Kelantan.

Dikatakan nama Palekbang ini berasal daripada perkataan 'Bang', yang bermaksud 'azan' mengikut loghat Kelantan. Kisah sebenar perlu digali lagi. Di sini terdapat banyak juga tokong atau 'wat', yang didirikan oleh penduduk setempat yang berasal dari Thailand dan beragama Buddha.
 
 
Saya belum menjumpai sebab kenapa Stesen Keretapi Palekbang yang bersebelahan dengan sungai ini menjadi sejarah yang samar-samar. Suatu ketika dulu ia merupakan nadi penggerak ekonomi negeri, penuh dengan aktiviti perdagangan, kereta sewa dan bas, feri yang berulang-alik menyeberang Sungai Kelantan untuk ke Kota bharu - kini hanya sebuah kawasan belukar dan semak-samun.

Adakah kerana selepas terbinanya Jambatan Sultan Yahya Petra pada tahun 1970-an, maka perkhidmatan feri sudah tidak diperlukan lagi. Bagaimana pula dengan stesen Palekbang itu sendiri, adakah ia sudah menjadi lewah dengan adanya Stesen Keretapi Tumpat yang hanya beberapa kilometer dari sini?

Stesen keretapi Palekbang masih digunakan pada tahun 1989. Hari ini cuma tinggal tiang dan papan tanda. Keretapi masih deras lalu ulang-alik ke Pekan Tumpat. Jika anda menaiki keretapi menuju ke Tumpat dari Wakaf Baru, jeling-jelinglah ke kanan, arah Sungai Kelantan, mungkin akan nampak sisa sejarah yang sangat uzur. Dan toleh-tolehlah ke belakang sekali sekala, kerana untuk maju ke hadapan, perlu ada sesekali menoleh ke belakang, sebab sejarah, tidak pernah berubah. 


SUMBER:http://www.budayaseni.my

ASAL - USUL KELANTAN

sejarah01

 

     Mungkin kita semua tertanya-tanya dari manakah asalnya nama negeri Kelantan? Sebenarnya, nama Kelantan dikatakan berasal daripada pokok Gelam Hutan ataupun nama lain bagi pokok itu ialah Melaleuca leucadendron.Selain itu, ada juga teori lain mengatakan nama Kelantan berasal   daripada perkataan Melayu iaitu kilatan serta kolam   tanah. Sejarah awal negeri ini mempunyai hubungan dengan Kerajaan Funan Kingdom, Empayar Khmer,Srivijaya dan Siam. Sejarah China menunjukkan kewujudan hubungan perdagangan dengan Kelantan yang dikenali sebagai "Ho-Lo-Tan". Dari sinilah   wujudnya nama kelantan yang juga dikenali sebagai negeri Cik Siti Wan Kembang.

 

LATAR BELAKANG TUMPAT

tumpatmap

Jajahan Tumpat telah dibina pada 1 Januari 1949, di kawasan Padang Mahkota iaitu dihadapan kediaman rasmi Ketua Jajahan dan apabila beroperasi telah diterajui oleh Allahyarham Dato' Nik Hussein bin Nik Zainal (Dato' Kaya Setia) selaku Ketua Jajahan yang pertama.
     Kepesatan pembangunan yang dialami di jajahan Tumpat pada waktu itu serentak dengan perkembangan pelabuhan dan stesen kereta api yang merupakan nadi perhubungan dan pengangkutan di Pantai Timur.
  Jajahan Tumpat adalah satu-satunya jajahan yang paling kecil antara jajahan di Negeri Kelantan dengan keluasannya hanya 169.5 km persegi.
     Walau bagaimanapun, Tumpat merupakan jajahan yang paling unik sekali kerana mempunyai dataran dan beratus-ratus buah pulau sungai (River   Island) yang tidak berbukit yang amat sesuai serta berpotensi untuk dijadikan   kawasan Pelancongan Antarabangsa. Jajahan Tumpat ditadbir melalui tujuh   daerah penggawa dan dibahagikan kepada 30 mukim. Di setiap mukim ini pula terdapat beberapa buah kampung yang kesemuanya berjumlah 57 buah dan setiap kampung diketuai oleh seorang penghulu (Ketua Kampung) yang bertindak sebagai penghubung antara rakyat dan pentadbiran jajahan.